CALIFORNIA: Seorang wanita dari Oakland, Amerika Syarikat yang dilaporkan hilang hampir lapan tahun lalu, telah ditemui selamat dan sihat, menurut Jabatan Polis Oakland.

Lisa Hu menghubungi polis, memaklumkan dia tidak pernah hilang dan dia tidak menyedari sebarang laporan telah difailkan berhubung 'kehilangannya', kata polis.

"Seseorang melaporkan dia hilang tetapi dia sebenarnya tidak hilang. Jika seseorang dilaporkan hilang, kami harus membuat susulan dan cuba mengesan mereka, kata jurucakap Jabatan Polis Oakland kepada People.

Hu, 31, pertama kali dilaporkan hilang pada 8 Disember 2015. Polis Oakland tidak mendedahkan siapa yang memfailkan laporan awal.

Keluarganya mendakwa Hu berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik semasa dia dilaporkan hilang, lapor CBS News.

Menurut wakil Jabatan Polis Oakland, kes Hu dianggap sebagai 'kes hilang yang masih berterusan' dan pihak berkuasa cuba mendapatkan lebih banyak petunjuk untuk mencari keberadaannya.

"Dia kemudiannya tampil dan memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak pernah hilang," kata jurucakap polis.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan Hu daripada senarai orang hilang selepas dia dikenal pasti dan disahkan selamat.

Walaupun polis tidak berkongsi di mana Hu berada selama lapan tahun ini, mereka mengesahkan dia berada dalam keadaan sihat dan bebas.